Sunday, July 31, 2011

Peraduan Dunia Susu Ibu 2011


Assalamualaikum semua...

Penat sungguh menyiapkan entri kali ini disebabkan banyak komitmen yang perlu diselesaikan sebelum bermulanya Ramadhan. Bak sehari selembar benang, alhamdulillah, akhirnya menjadi kain. Memandangkan hari ni dah 31 Julai, maka perlulah rajin menyiapkan entri ni. Semoga perkongsian ini dapat memberi manfaat untuk kita semua walaupun hanya sedikit.


Kategori: Bersalin bayi pra matang

Tarikh Lahir Anak: 21 Februari 2011


Ø Bersalin bayi pra matang

Menginjak ke 8 bulan usia kandungan, segala kelengkapan bayi dan ummi baru saja dilengkapkan. Maklumlah, menunggu saat kedatangan orang baru adalah detik yang terindah. Yang abangnya dulu, kami tak sempat sediakan apa-apa. Syukurlah, kalau tak pasti teringat-ingat. Abangnya dulu pun pra matang juga lahirnya...24 minggu. Dan Allah lebih menyayanginya...kami Redho.


Sejak dari awal mangandung lagi, saya dah berazam untuk memberi susu badan sepenuhnya untuk zuriat kami ini. Maka kajian dan persediaan perlu dibuat seawal mungkin. Ada saja kelapangan masa, saya akan memanfaatkan dengan mencari artikel berkaitan penyusuan dan persediaan yang diperlukan. Daripada pembacaan, saya tahu dan faham, saya perlu kuat dan tabah untuk menempuh segala apa yang bakal terjadi.


Saya telah ditakdirkan untuk bersalin awal 5 minggu daripada tarikh yang dijangka. Untuk perjalanan sepanjang detik-detik cemas, bolehlah singgah di sini. Saya dijangka bersalin pada 23 Mac 2011. Namun, di pagi Isnin itu, 21 Februari 2011 lahirlah putera kami yang diberi nama Harun Izzuddin secara kelahiran normal. Alhamdulillah... Allah permudahkan segala urusan kami. Ketika itu, kandungan berusia 35+ minggu. Maka, istilah yang diberi untuk bayi kecil ini adalah pra matang walaupun tidak perlu menghuni inkubator. “Anak sihat dah cerdas, denyut nadi juga normal, awak bernasib baik”, beritahu Dr sebaik saja pemeriksaan ke atas bayi dilakukan. Alhamdulillah...


Selepas ditolak masuk ke bilik tidur, jururawat membawa bayi kepada saya. Maka bermulalah episod baru, pengembaraan seorang ummi ;) Perkara pertama adalah menciumnya dan terus merapatkan ke dada. Ya Allah, hamba Mu ini kagum dengan Mu. Bayi yang baru lahir ini, tanpa diajar, pandai sungguh menghisap. Di saat itu, sekali lagi air mata ini menitis, tatkala merasai nikmatnya memberi susu badan untuk zuriat sendiri. Susu memang agak sedikit saja keluar, namun saya yakin, insyaallah pasti akan banyak.


Ø Apa yang berlaku semasa penyusuan (masalah / cabaran dll)

Kami bertiga (saya, suami dan anak) hanya bermalam semalaman di hospital, walaupun pakej yang diberi adalah 3 hari 2 malam. Keesokannya, mak dan ayah saya sampai dari Kelantan. Maka kami pulang ke rumah. Hari ke-3, jururawat klinik kesihatan untuk membuat pemeriksaan. Izz didapati ada jaundis paras dada. Petang tu kene gi ambik darah dan bacaannya 132 umol/L. Masih rendah namun perlu ambil bacaan Bilirubin hari ke-5.


Tali pusat tanggal hari ke-5. Orang kata, bila tali pusat dah tanggal, bacaan jaundis akan berkurangan. Tidak! Ianya baru bermula. Untuk risiko jaundis pada darah ibu dan bayi – tidak ada kerana kami berdua berdarah A. Namun, saya akur, Izz berisiko tinggi untuk jaundis sebab PRA MATANG. Dan penawarnya adalah susu ibu. Namun susu ini tidak juga banyak dan tidak juga membengkak seperti sesetangah orang walaupun telah berurut untuk merangsangnya.


Hari ke-5, kami bertolak balik ke Kelantan untuk berpantang di sana. Perjalanan Penang-Kelantan sungguh memenatkan dan menyakitkan. Dalam keadaan yang masih lemah dan luka yang belum sembuh, saya gagahkan jua untuk menyusukan anak sepanjang perjalanan. Bacaan darah tidak diambil hari ke-5 sebaliknya hari ke-6 kerana kesuntukan masa. Bacaan makin meningkat. Esoknya (hari ke-7), bacaan naik mendadak ke 360umol/L. Izz perlu dimasukkan ke wad HUSM untuk rawatan lanjut. Saya merayu untuk tinggal di sana kepada pihak hospital memandangkan jumlah katil terhad dan saya tak bersalin di sana. Alhamdulillah dapat. Tujuan saya hanya satu, menyusukan Izz sepenuhnya. Ya saya tahu, Izz dan saya perlu kuat!


Izz ditahan di wad NICU untuk semalaman. Lampu biru diberi atas dan bawah. Tuhan saja yang tahu betapa sakitnya rahim ketika itu akibat berjalan dari wad menginap ke NICU semata-mata untuk menyusukan Izz. Saya hanya pulang ke wad setelah malam, itu pun selepas tinggalkan beberapa titis susu badan untuk bekalan malam. Susu masih di tahap yang sama, amat sedikit. Malam ke-2 di wad, saya diberitahu, bacaan anak dah sedikit turun dan akan dihantar ke wad biasa bersama saya. Hati lega sedikit sebab dah tak perlu berjalan jauh untuk munyusukan Izz.


Setiap 1-2 jam saya kejutkan Izz untuk menyusu. Pinggang sakit dan kaki kebas akibat struktur katil yang agak tinggi dan melengkung. Sukarnya untuk tidur dan merehatkan badan. Hanya Allah yang tahu. Namun saya perlu tabah kerana Izz bergantung pada saya. Berkat pertolongan Allah dan khasiat susu ibu, bacaan jaundis Izz makin turun, namun agak perlahan. 6 hari kami menginap di sana.


Petang hari ke-6, kami dibenarkan pulang setelah bacaan jaundis turun ke 220umol/L. Namun perlu ke klinik kesihatan untuk memantau perkembangan. Izz mengalami ‘prolonged jaundis’. Hari ke-17, bacaannya adalah 162umol/L. Maka dah boleh tutup buku. Alhamdulillah...dah tak perlu ke klinik untuk ambik darah lagi.


Ø Cara menghadapi dan menyelesaikan masalah

Untuk juandis, tiada lain melainkan kita perlu menyusui anak dengan susu ibu. Bersungguh-sungguh, yakin serta banyakkan sabar walaupun susu ketika itu tidak meriah. Saya hampir berputus asa dalam menyusui anak dek kerana susu yang sedikit. Pelbagai cara dilakukan. Pam juga bertukar ganti untuk mencari keserasian. Daripada Avent manual, Pureen elektrik dan akhirnya Spectra 3 pum berganda.


Vitamin dan makanan tambahan juga banyak, apa saja akan saya cuba. Pil ASI, soya Melilea, set lengkap Shaklee untuk tambah susu, kurma, lobak putih, pegaga, teh pegaga, teh kurma dan longan dan pelbagai lagi telah saya cuba. Air masak diminum seperti yang disarankan. Doa juga tidak lekang dibibir ini. Namun hasilnya sama, belum lumayan. Stok juga ada lebih kurang 10 botol yang 3oz. Setiap hari paling kurang saya akan pam 3 kali pada waktu siang. Jika malam atau hujung minggu, kalau Izz menyusu, sebelah lagi akan dipam. Tips ini agak berkesan untuk merangsang pengeluaran susu. Saya tetap bersyukur sebab dapat meneruskan penyusuan ini walaupun sedikit. Saya yakin, Allah menguji hambaNya sebab Dia sayang ^_^.


Izz kuat menyusu hampir setiap jam waktu siang jika bersama saya. Untuk bangun malam dan mengepam memang tak dapat sebab Izz akan bangun untuk menyusu selang 2 jam. Selepas mengambil produk Shaklee untuk tambah susu, Alhamdulillah, susu makin pekat dan Izz minum sikit, dan nampak perubahan dia cepat kenyang. Namun ianya tidak memenuhi tuntutan minumnya.


Saya terpaksa dengan hati yang sedih memberi Izz susu formula. Kalau di rumah pengasuh, saya bekalkan susu yang dipum hari sebelumnya 4 atau 5 botol (3oz) bergantung pada hasil pendapatan. Biasanya pengasuh akan bagi susu formula bila dah lewat petang dan saya belum sampai lagi. Penggunaan susu formula hanyalah 10%+90% susu ibu. Kalau kat rumah, memang saya bagi terus je, takde guna susu formula.


Tapi Izz pandai sekarang ni, bila petang je, dia sanggup tunggu umminya ni sampai rumah pengasuh baru nak menyusu. Bila pengasuh bagi susu formula, mulalah dia buat muka dan tolak dengan lidah. Susu formula hampir tak luak.


Ø Sokongan yang diperolehi

Suami, keluarga terutamanya mak dan kawan-kawan memang banyak bagi sokongan padu. Banyak nasihat berguna yang saya dapat daripada kawan-kawan. Malah pam Spectra 3 juga adalah hadiah daripada suami tersayang sebab kesian tengok isterinya ni lenguh tangan menggunakan pam manual. Teringat sewaktu kat hospital masa Izz jaundis, jururawat banyak bagi penerangan berkaitan penyusuan dan teknik-teknik ang betul. Sewaktu mengapam, ada yang datang mengurut belakang dan bahagian bawah leher. Ya, teknik ini memang membantu pengaliran susu badan.


Ø Gambar berkaitan penyusuan



Gambar ni Izz tengah menyusu - diambil sewaktu Izz dalam wad. Saya memang jarang buka penutup matanya sebab, bila buka je memang dia nangis-nangis sampai saya tak sampai hati untuk tutup balik.

Jadi menyusu lah Izz dalam keadaan mata tertutup. Cuma saya longgarkan bahagian atas atau bawah saja supaya dia dapat lihat muka saya.


Ø Tag seberapa ramai kawan untuk mempromosi penyertaan anda dan menyebarkan ilmu anda pada kawan-kawan


Semua kawan-kawan yang sempat baca entri ni sebelum 1 Ogos bolehlah menyertainya. Harap maaf sebab terlewat mempromosi.

3 comments:

  1. kagum dengan semangat izzati... anda seorang ibu yang tabah :)

    tak tahu pulak yg si izz kena prolonged jaundis...

    baby ni memang bijak, sanggup berlapar sebab nak menyusu dengan ummi nya kan?

    ReplyDelete
  2. Terima kasih... tu lah, bijak sungguh... macam tau2 je petang je mula buat perangai...
    kak nur, jom la join, sempat lagi ni!

    ReplyDelete
  3. huhuhu, mood nak join contest ke laut... kepala duk serabut nok siapkan proposal..

    good luck izzati, mmg post yang menarik :)

    ReplyDelete

Related Posts with Thumbnails